Tuesday, June 7, 2011

KEISTIMEWAAN TAHJUD

Tahjud hindar diri daripada perasaan riak

NABI Muhammad bersabda maksudnya: “Sesungguhnya pada waktu malam ada satu masa yang tidaklah seorang Muslim berkebetulan memohon kepada Allah sesuatu kebaikan daripada urusan dunia dan akhirat pada ketika itu kecuali pasti Dia akan mengurniakannya. Dan hal sedemikian berlaku pada setiap malam.” – (Hadis riwayat Muslim).

Allah menciptakan alam penuh dengan ketenangan dan keheningan. Dalam suasana sedemikian, hati menjadi sangat bersih dan penuh tumpuan. Ia adalah saat yang paling tepat untuk bersunyi-sunyian di samping Allah.

Solat adalah bekalan untuk mengharungi cabaran hidup seharian. Apabila ia dilakukan dalam keheningan malam, maka ia memberi bekalan yang lebih banyak. Pada masa itu, orang beriman yang cinta dan rindu kepada Allah berdiri, rukuk, sujud, berzikir, bertasbih, membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar, bermunajat, berdoa dan menangis kerana takut kepada Allah.

Bangun pada waktu malam adalah mujahadah diri ke arah memperkuatkan tekad dan keazaman serta mengalahkan bisikan syaitan dan melatih jiwa tunduk sepenuhnya kepada Allah.

Orang yang meninggalkan tidur, waktu istirahat dan tilam empuk melawan keinginan fizikal, lalu bangun dan bersuci walaupun dalam keadaan mengantuk meletakkan ibadat serta taqarrub kepada Allah teratas daripada segalanya.

Bangun pada waktu malam ketika manusia lain sedang lena dibuai mimpi membibitkan ketulusan dan keikhlasan pada Allah, sekali gus membebaskan hati dari perasaan riak dan bangga diri.

Setiap daripada kita pernah melakukan kesilapan dan sememangnya tidak mampu melaksanakan semua tanggungjawab dengan kesempurnaan mutlak.

Justeru, amat wajar kita mengetuk pintu Allah pada malam hari dan memohon keampunan dan kasihan belas-Nya.

Doa pada waktu malam adalah ibadat yang paling afdal.

Diriwayatkan daripada Abu Ummarah, beliau berkata bahawa Rasulullah ditanya: “Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengar?" Sabda Baginda bermaksud: “Doa pada separuh akhir malam dan selepas solat wajib.” – (Hadis riwayat at-Tarmizi).

Rumah yang sentiasa dihiasi qiamullail sering dikunjungi malaikat, diliputi rahmat dan kebahagiaan hakiki.

Alangkah indahnya andai setiap ahli keluarga terutama ibu bapa bekerjasama mewujudkan suasana soleh ini.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Allah merahmati seorang lelaki yang bangun pada waktu malam, lalu dia mendirikan solat. Kemudian dia mengejutkan isterinya, lalu isterinya juga mendirikan solat.

“Sekiranya isterinya enggan, maka dia akan memercikkan air ke muka isterinya. Dan Allah merahmati seorang wanita yang bangun pada waktu malam, lalu dia mendirikan solat. Kemudian dia mengejutkan suaminya, lalu suaminya mengerjakan solat. Sekiranya suaminya enggan, maka dia memercikkan air ke muka suaminya itu.” – (Hadis riwayat Abu Daud).

Antara perkara yang dapat membantu kita bangun dan mengerjakan qiamullail ialah niat ikhlas, tekad kuat, sentiasa memperbaharui taubat, menjauhi maksiat, tidur awal, tidur seketika pada waktu siang (qailulah) dan memohon bantuan daripada Allah.

Kemesraan dan kenikmatan yang dirasai ketika melakukan qiamullail dan munajat dapat melupakan kita kepada kepenatan dan keletihan.

Rasulullah memanjangkan masa berdiri ketika qiamullail hingga dua kaki Baginda mula bengkak. Namun, Baginda tidak sedikit pun berasa sakit kerana tenggelam dalam kekhusyukkan menghampirkan diri kepada Allah.

Seorang soleh berkata: “Tidak ada satu waktu di dunia yang menyamai kenikmatan akhirat kecuali waktu yang dilalui oleh ahli tahajud yang merasakan lazatnya munajat.” – Petikan daripada Suara Masjid terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Wilayah Persekutuan.

No comments: